mutakhir

Kelas pintar di 1,000 sekolah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 1,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan mempunyai kelas pintar menggunakan kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21), tahun depan.

Kementerian Pendidikan pada Bajet 2018 diperuntukkan RM190 juta untuk pengubahsuaian 2,000 kelas pintar supaya dilengkapi papan pintar atau smatboard menggantikan papan hitam atau putih dalam sesi pengajaran konvensional.

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad berkata, setiap sekolah akan mempunyai dua kelas yang mengadaptasi kaedah pembelajaran itu.

"Pemilihan sekolah dilakukan kementerian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri. Pemilihan dibuat dengan mengambil kira kriteria ditetapkan termasuk capaian internet dan kemudahan teknologi.

"Bukan saja sekolah di bandar, bahkan sekolah di luar bandar dan pedalaman juga akan dipilih untuk pelaksanaan PAK-21 supaya murid atau pelajar dapat didedahkan dengan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke kelas PAK-21 di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Bandar Enstek, Nilai, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Aminudin Adam dan Pengetua TKC Anismah M Noh.

Alias berkata, TKC sudah mempunyai 25 kelas PAK-21 dan lawatan itu diadakan bagi melihat keberkesanan dan kaedah digunakan sekolah berkenaan.

Setakat ini, katanya, hampir keseluruhan sekolah berasrama penuh mempunyai kelas pintar tetapi hanya beberapa kelas saja dan sedang berusaha untuk melaksanakannya di semua kelas, tahun depan.

"Apabila PAK-21 diterapkan di seluruh sekolah di negara ini suasana pembelajaran di kelas menjadi lebih interaktif apabila pelajar dapat berinteraksi menggunakan kecanggihan teknologi terkini.

"Pelajar akan menggunakan peranti sebagai alat komunikasi terhadap pengajaran yang diajar guru di sekolah," katanya.

Alias berkata, pihaknya juga sudah menyediakan latihan secara berperingkat untuk guru sebagai persediaan mengajar menggunakan kaedah itu.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 5:00pm
d