mutakhir

Datuk dan Datuk Seri palsu pun nak dibeli

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS Johor berjaya membongkar sindiket yang menghasut orang ramai menjadi ahli pertubuhan haram sebelum ditawarkan Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri dengan nilai antara RM180,000 hingga RM280,000.

Sindiket itu berjaya dikesan apabila polis menahan dua lelaki berusia 57 dan 40 tahun di Johor Bahru, Johor, pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dua suspek lelaki dari Batu Pahat, Johor itu sendiri tidak mempunyai sebarang gelaran rasmi walaupun sudah dikenali dengan panggilan Datuk.

Beliau berkata, suspek menggunakan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Komuniti Kepolisan untuk menarik perhatian orang ramai sebelum mengajak mereka menjadi ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang dengan yuran keahlian antara RM20,000 hingga RM30,000.

"Suspek ini kemudian menjual Darjah Kebesaran Negeri dengan harga RM180,000 hingga RM280,000 yang mana kita sudah mendapatkan pengesahan daripada negeri berkaitan bahawa pingat dan watikah pelantikan yang ditawarkan suspek adalah palsu.

"Darjah Kebesaran yang ditawarkan juga tidak membabitkan negeri ini, tetapi pihak istana negeri lain yang terbabit mengakui tidak tahu menahu mengenai watikah pelantikan diperoleh suspek.

"Bagaimanapun, siasatan awal kita mendapati kegiatan sindiket ini tidak membabitkan mana-mana golongan kenamaan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, sejak penahanan suspek, pihaknya menerima 13 laporan polis terhadap sindiket itu yang setakat ini dipercayai membabitkan kerugian sebanyak RM1.34 juta.

Katanya, aktiviti dilakukan sindiket berkenaan mula dikesan sejak awal tahun ini dan setakat ini pihaknya mendapati terdapat lebih 40 ahli pertubuhan itu.

"Kita mohon mereka yang terbabit dalam pertubuhan ini tampil membuat laporan polis dan kita juga memburu lelaki bernama Muhamad Faizal Abd Rahman berusia 33 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, untuk membantu siasatan.

"Dalam tangkapan ini saja, kita berjaya merampas lapan pingat Darjah Kebesaran berdasarkan watikah pelantikan yang dikesan," katanya.

Menurut Mohd Khalil, kedua-dua suspek masih dalam tahanan reman bagi siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 471 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Mohd Khalil mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai pertubuhan haram dan tidak terbabit dalam memiliki, meminta, menerima, memberi, berjanji atau menawarkan kepada mana-mana orang Darjah Kebesaran, Bintang Kehormat dan pingat.

"Kita juga menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kumpulan yang terbabit dalam jenayah seumpama ini tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 5:16pm
d