mutakhir

Keputusannya esok

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KEPUTUSAN permohonan injuksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah menempatkan bangunan Wisma Tok Guru, Salor, Kota Bharu ditetapkan esok.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Mahkamah turut memberi memberi peluang kepada plaintif iaitu Husam dan defendan Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff membuat hujahan balas tambahan melalui peguam masing-masing, esok.

Peguam Zaidan Ali yang mewakili Husam, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, permohonan anak guamnya itu dibuat bagi menghalang Wisma Tok Guru diganggu sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan hasil perbicaraan mahkamah bermula 4 Disember ini.

"Anak guam kami merasakan ia satu penganiayaan tidak adil kerana dia mempunyai hak terhadap bangunan yang dibina sendiri di atas tanah terbabit.

"Kami juga merasakan defendan tidak mempunyai keperluan segera untuk menggunakan bangunan berkenaan sedangkan Wisma Tok Guru digunakan anak guam kami sebagai Pejabat ADUN Salor," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili defendan berkata, anak guamnya mempunyai hak terhadap Wisma Tok Guru mengikut undang-undang berikutan bangunan itu berada di atas tanah terbabit.

"Kami berhujah mengikut Kanun Tanah Negara 1965 bagi merujuk apa saja yang berada di atas dan bawah tanah berkenaan termasuk dalam air sekali pun, ia adalah milik tuan tanah yang sah dan mempunyai geran," katanya.

Terdahulu, mahkamah memberi peluang kedua-dua pihak untuk berbincang dan menyelesaikan kes di luar mahkamah, namun gagal mencapai kata sepakat.

Isu Wisma Tok Guru timbul selepas PAS Kelantan membeli tanah premis berkenaan dan mengeluarkan notis supaya Husam mengosongkan bangunan itu.

Bagaimanapun, Husam dilaporkan enggan berbuat demikian.

Pada malam esok, PAS akan mengadakan Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di kawasan tanah terbabit.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 7:25pm
d