mutakhir

Pokok tumbang hempap rumah

Oleh Ibrahim Isa

SEBANYAK 26 rumah rosak dihempap pokok tumbang akibat ribut di Tangkak, Johor, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, sebanyak 25 rumah rosak di Kampung Sawah Ring manakala sebuah rumah rosak di Taman Wira Bukit Gambir akibat ribut pada 6 petang.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan pelbagai jabatan kerajaan menjalankan operasi membersihkan pokok tumbang terutama di jalan raya utama.

"Kerja membersih dan membantu mangsa dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RELA," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bertugas masih memberikan bantuan dan tidak menolak kemungkinan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa ribut berkenaan.

Selain itu, katanya, sehingga 9 malam, hanya satu PPS masih dibuka di Johor iaitu di Sekolah Kebangsaan Tanjong Tohor, Muar, membabitkan lima keluarga dan 22 mangsa dari Kampung Sungai Pulai.

Menurutnya, PPS berkenaan dibuka pada jam 11 malam semalam, selepas rumah mereka dinaiki air dan semua keperluan sudah diberikan kepada mangsa berusia dua hingga 69 tahun itu.

Terdahulu, pada 1 tengah hari hari ini, PPS di Dewan Pusat Khidmat Penyayang Air Hitam, Batu Pahat yang menempatkan seramai 37 mangsa membabitkan 11 keluarga ditutup selepas rumah mereka didapati selamat.

PPS di Batu Pahat itu dibuka sejak 4 pagi, Isnin lalu, bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Parit Khalil, Kampung Parit Samion dan Lorong Budin berikutan rumah mereka dinaiki air.

Pada jam 9.30 pagi hari ini, PPS Sekolah Kebangsaan Nam Heng, Johor Bahru yang menempatkan lebih 10 keluarga dari Kampung Pasir, Kemas, Sungai Tiram dan Kampung Paya, Nam Heng, ditutup selepas beroperasi sejak Isnin lalu.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 10:43pm
d