mutakhir

Sita, robohkan kedai....

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

SEMUA agensi penguatkuasaan sepatutnya memainkan peranan masing - masing bagi menyelesaikan isu peniaga asing di Bukit Bintang.

Itu yang diluahkan Mohd Safar Mansor, 40-an, seorang peniaga tempatan di kawasan Bukit Bintang.

Menurutnya yang sudah 15 tahun berniaga di kawasan itu, dia hanya nampak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menjalankan operasi di kawasan itu.

“JIM mana ada kuasa untuk sita kedai ini, sepatutnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat operasi seperti JIM.

“Semalam, JIM menahan pekerja warga asing, tetapi apa yang DBKL buat? Sepatutnya mereka merobohkan premis warga asing ini,” katanya, hari ini.

Menurutnya, warga asing yang berniaga di kawasan Bukit Bintang itu hanya menyembunyikan diri beberapa jam dan selepas semua agensi penguatkuasaan beredar, aktiviti mereka berjalan seperti biasa.

“Jika gerai mereka dirobohkan termasuk yang berada di lot kedai di Jalan Alor, baru masalah ini selesai. Kebanyakan yang berniaga di tepi jalan saja diambil tindakan oleh DBKL manakala yang berniaga di dalam premis dibiarkan saja,” katanya.

Dalam tinjauan Harian Metro di Bukit Bintang terutamanya Jalan Alor dan Changkat Bukit Bintang, kebanyakan kedai yang diambil tindakan oleh JIM sudah beroperasi semula.

Ada majikan yang menggunakan tenaga kerja lain berikutan pekerja mereka dicekup kelmarin manakala ada juga yang menggunakan pekerja yang sama seperti yang ditemui kelmarin.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan Bukit Bintang semalam, seramai 440 warga asing ditahan hasil pemeriksaan dilakukan ke atas ke atas 915.

Daripada jumlah itu, empat adalah kanak - kanak, 47 wanita dan 389 lelaki berusia empat hari hingga 50 tahun.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 11:05pm
d