mutakhir

Tembak dua das cuba samun

Oleh Mohd Hasbi Sidek

 

mohd.hasbi@hmetro.com.my

DUA lelaki cuba menyamun ejen hartanah wanita dengan melepaskan dua tembakan ke arah kereta mangsa di Jalan Teratai 2, Setapak, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa yang berusia 30 tahun didatangi seorang lelaki memakai topi keledar sebelum mengetuk tingkap kereta wanita itu menggunakan pistol.

"Suspek mengarahkan mangsa agar keluar dari kereta, namun ejen hartanah itu mengundurkan keretanya sebelum terdengar satu das tembakan.

"Mangsa terus memecut kenderaan jenis Mercedes Benz itu dan secara tiba-tiba muncul seorang lelaki menunggang motosikal menghalang laluannya," katanya.

Beliau berkata, mangsa terlanggar lelaki bermotosikal berkenaan dan mengundurkan kenderaannya sebelum satu das lagi tembakan dilepaskan.

"Wanita itu memandu ke kawasan selamat dan menghubungi rakan pejabat memaklumkan kejadian yang menimpanya.

"Mereka membuat laporan polis dan tidak mengalami kecederaan atau kehilangan barang. Siasatan awal mendapati, kereta yang dinaiki milik rakan lelaki yang dihubungi.

"Polis kini sedang mengenal pasti dua suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan hasil pemeriksaan pihak forensik menemui satu peluru pada tayar kanan hadapan kereta mangsa," jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

 

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 1:24am
d