mutakhir

Perhalusi akta koperasi

Oleh BERNAMA

Petaling Jaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerahkan cadangan pindaan Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007)(Akta 502) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diperhalusi.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya bagaimanapun masih menunggu keputusan daripada AGC sebelum ia dapat dibentangkan di Parlimen.

“Cadangan pindaan itu antara lain meliputi urus tadbir dan peraturan berkenaan koperasi di negara ini.

“Kita serah pada AGC untuk memuktamadkan semua dan apabila mereka serahkan kepada kita semula, baru kita bawa (pindaan) ke Parlimen.

“Namun, jika tidak sempat dibentangkan pada sesi kali ini, kita bentang pada sesi seterusnya,” katanya ketika ditemui pada jamuan malam sempena penganjuran International Co-operative Alliance Global Conference and General Assembly di sini, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden International Co-operative Alliance, Monique Leroux.

Sementara itu, buat julung kalinya Malaysia menjadi tuan rumah acara bertaraf global yang berlangsung selama empat hari sehingga 17 November ini.

Bertemakan ‘Koperasi: Memartabatkan Masyarakat Dalam Arus Pembangunan’, persidangan itu bertujuan membincangkan isu berkaitan pembangunan sektor koperasi.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 3:29am
d