mutakhir

Promosi makan angin

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Tangkak: HamimYokk Ledang muncul sebagai aplikasi permainan telefon pintar pertama di negara ini yang mempromosikan sesuatu daerah sebagai destinasi ekopelancongan.

Cetusan idea Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Ledang Datuk Dr Hamim Samuri itu, memperkenalkan kawasan pelancongan menerusi mobile game untuk menarik minat semua golongan masyarakat di negara ini.

Permainan HamimYokk Ledang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple Store, Hamim sebagai watak utama yang ditonjolkan dalam permainan itu berperanan mempromosikan Tangkak sebagai destinasi ekopelancongan bersama dua watak lelaki dan wanita sebagai pilihan.

Aplikasi itu memaparkan aset tempatan seperti hentian bas di Tangkak yang unik, gerai Kupang Tangkak, gerai cendol, masjid, Air Terjun Gunung Ledang serta bangunan sekitar pekan Tangkak, Serom dan Bukit Gambir.

Hamim berkata, aset berkenaan diabadikan dalam permainan HamimYokk Ledang sebagai langkah mempromosi kawasan pelancongan tempatan di Tangkak kepada sesiapa saja yang bermain permainan itu, sekali gus memperkenalkan daerah itu.

Katanya, pemain akan merentasi beberapa halangan dan mengumpul mata serta meraih sokongan daripada penyokong yang sedia bersorak dan memberi semangat di sepanjang jalan yang dilalui dalam permainan itu.

“Di akhir setiap peringkat permainan, watak HamimYokk Ledang akan turun padang bersama pemain dan turut serta di garisan penamat sebagai tanda sokongan sebelum pemain meneruskan permainan ke peringkat seterusnya.

“Bagi setiap peringkat permainan yang menepati skor ditentukan, pemain berpeluang berswafoto bersama watak HamimYokk Ledang dan boleh dikongsi di Facebook milik pemain,” katanya ketika melancarkan aplikasi permainan itu di Dataran Ledang, Tangkak.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 3:33am
d