mutakhir

Tarik balik lesen hotel

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik lesen mana-mana hotel yang dikesan melarang pekerja wanitanya memakai tudung.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, pengurusan hotel membabitkan PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen.

“Saya minta semua PBT yang bertanggungjawab memberikan lesen itu (hotel), kalau benar wujud aduan pekerja wanita tidak dibenarkan memakai tudung, kami sarankan PBT tarik balik lesen dikeluarkan.

“Tindakan itu bagi saya bertentangan dengan Perlembagaan negara dan hak asasi manusia yang selalu diperjuangkan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui semalam selepas melawat dua anggota bomba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, yang cedera ketika memadam kebakaran di sebuah kilang perabot Sabtu lalu.

Beliau berkata, pemakaian tudung adalah hak asasi dan sebagai wanita Islam adalah wajib memakai tudung.

Ditanya sama ada tindakan menarik lesen juga akan dikenakan terhadap hotel antarabangsa sekiranya dikesan melakukan perkara sama, Noh berkata, tindakan itu menyeluruh.

“Sepatutnya jika hotel antarabangsa ia patut lebih rasional kerana di peringkat antarabangsa memperjuangkan hak kebebasan, hak asasi, kebebasan agama, berpakaian, bersuara dan perkahwinan LGBT juga diperjuangkan, takkan nak pakai tudung pun tidak boleh.

“Jika hotel antarabangsa yang melakukannya ia tidak boleh diterima, namun kadang-kadang perkara itu berlaku mungkin kerana ada Little Napoleon dalam pengurusan hotel.

“Tetapi, jika ia dasar hotel berkenaan tidak boleh beroperasi di negara kita,” katanya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin dilapor menyifatkan larangan bertudung terhadap wanita Islam yang bekerja di kaunter hadapan khidmat pelanggan hotel rangkaian antarabangsa adalah kurang ajar dan tidak menghormati Perlembagaan negara.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 3:45am
d