mutakhir

Macet sekali dong!

Oleh BERNAMA

Jakarta: Macet! Jika warga Kuala Lumpur mengeluh berkaitan kesesakan lalu lintas, kesesakan kota Jakarta sebenarnya jauh lebih parah dengan tempoh mengharungi jarak kurang dari 10 kilometer (km) boleh mengambil masa berjam-jam lamanya.

Sekalipun kesesakan bukanlah sesuatu yang asing di kota-kota besar di seluruh dunia, namun saya sendiri mendapati kesesakan di kota Batavia ini satu yang agak luar biasa dengan media Indonesia mahukan satu langkah drastik dilaksanakan pemerintah bagi mengatasi masalah berkenaan.

Pelbagai komentar dilontarkan oleh media dalam talian di Indonesia, antaranya, jika tidak ditangani dengan bijak maka dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi warga Jakarta akan terperangkap dalam kesesakan bermula dari hadapan kediaman mereka.

Wakil Gabenor Jakarta, Sandiaga Salahuddin Uno berkata warga Jakarta mensia-siakan masa purata 22 hari kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Bayangkan, 22 hari itu bersamaan dengan cuti tahunan atau libur di Indonesia,” Sandiaga dipetik dalam satu laporan media dalam talian Indonesia.

Beliau juga menunjukkan akibat kesesakan lalu lintas dan kesukaran mencari tempat letak kereta, warga Jakarta sering dilaporkan lewat ke majlis penting.

Pelbagai langkah dilaksana pihak berkuasa Jakarta bagi mengurangkan kesesakan atau kemacetan di Jakarta, antaranya melaksanakan peraturan penggunaan kenderaan bernombor pendaftaran ‘genap ganjil’ di laluan tertentu pada hari dan tempoh tertentu.

Hanya kenderaan yang memiliki plat pendaftaran sama (genap atau ganjil) seiring dengan tarikh hari berkenaan saja dibenarkan memasuki atau menggunakan laluan tertentu.

Peraturan itu dikuatkuasakan pada 30 Ogos, 2016 di jalan-jalan utama kota Jakarta seperti Jalan Sisingamangaraja, Jalan Sudirman, Jalan MH Thamrin, Jalan Medan Merdeka Barat, dan sebahagian Jalan Gatot Soebroto (antara jalan layang Senayan sampai ke kawasan Kuningan).

Peraturan itu berkuat kuasa dari Isnin hingga Jumaat bermula 7 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 10 malam. Pemandu yang ingkar boleh dikenakan denda maksimum Rp500,000 (RM160).

Namun, peraturan itu masih dilihat tidak memberikan impak besar kerana jumlah kenderaan di Jakarta terlalu banyak.

Mengikut laporan Badan Pusat Statistik Indonesia (BPS) sejumlah 13.9 juta kenderaan dua roda dan 5.5 juta kenderaan empat roda didaftar di kota metropolitan ini yang dihuni lebih 10.1 juta penduduk.

Untuk perancangan jangka panjang, Perkhidmatan Transit Aliran Massa Jakarta (MRT Jakarta) sedang dibangunkan dengan fasa 1 sistem pengangkutan itu dijangka siap pada 2019.

Projek Fasa 1 itu dimulakan pada 2013 melibatkan laluan sejauh 15.5km menghubungkan Lebak Bulus ke Bundaran yang menempatkan 13 stesen sepanjang laluan itu.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 3:52am
d