mutakhir

Reda anak bongsu berhenti sekolah

Oleh HM Digital

Kota Bharu: Bebanan kewangan membelenggu seorang ibu tunggal selain penyakit kronik dihidapi menyebabkan anak bongsunya terpaksa berhenti sekolah sejak Jun lalu.

Mek Nab Yusoff, 61, berkata, anaknya, Siti Aisyah Najwa Ismail, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar mengambil keputusan itu kerana tidak mahu membebaninya.

Tambah pula, dia kerap tidak sihat dan matanya sukar melihat dengan jelas sejak sebulan lalu disebabkan kencing manis kronik, selain darah tinggi.

Mempunyai 11 anak dengan rata-ratanya berkeluarga Mek Nab akur dengan apa diberikan anaknya meskipun sekadar cukup makan pakai.

“Mereka juga bukan dalam kalangan orang senang. Jadi mak cik tidak mahu menyusahkan.

“Setiap minggu RM50 diperuntukkan untuk beli lauk-pauk dan lain-lain keperluan. Anak-anak lain pun bantu juga, mereka hulur sikit seorang.

“Saya bersyukur kerana sedar kami bukan orang senang, harta pun tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Terusan Limbat, di sini semalam.

Menurutnya, arwah suaminya, Ismail Chik yang meninggal dunia tahun lalu kerana barah otak bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Dengan pendapatannya RM600 sebulan kami hidup. Namun selepas kehilangannya, hilang juga tempat bergantung saya dan anak-anak.

“Kini dengan kesihatan diri yang tidak berapa baik, saya tidak boleh bekerja. Sebab itu juga Siti Aisyah berhenti sekolah,” katanya yang mengharapkan anaknya kembali berrsekolah.

Dia juga memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) namun masih tiada tindakan.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 4:05am
d