mutakhir

Syukur terima zakat RM10,000

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: “Sebelum ini saya dan anak-anak yatim ini menyewa di rumah kampung namun tidak mendapat kelulusan kerana berhadapan dengan isu keselamatan lalu kami berpindah ke Setapak.

“Namun begitu, masih banyak yang perlu kami naik taraf di sini bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin dan dinaik taraf dari kediaman ke pusat jagaan,” kata pengusaha Rumah Penyayang Nur Iman, Sharimah Ali, 47.

Rumah anak yatim berkenaan antara penerima wang zakat berjumlah RM10,000 yang disumbangkan UDA Holdings Berhad (UDA) selain Rumah Anak Yatim Permata Hatiku, Madrasah Nazariah, Sekolah Agama Saad bin Abi Waqqas dan Surau Madinah di Kampung Setia Jaya.

Menurut Sharimah, rumah yang diduduki sekarang dijadikan asrama kanak-kanak lelaki yang disewa sebanyak RM2,500 sebulan manakala kanak-kanak perempuan ditempatkan di rumah lain dengan sewa RM1,200 sebulan.

“Walaupun masih banyak yang diperlukan namun saya bersyukur dan berterima kasih di atas sumbangan yang diterima hari ini.

“Saya akan memastikan anak-anak tinggal dalam rumah yang selesa, tidak tercicir pelajaran dan terjamin dari segi keselamatan,” katanya yang menjaga 30 anak yatim berusia antara lima hingga 17 tahun.

Bagi guru besar Sekolah Agama Attaqwa, Salwa Mohd Shafir, 46, ia adalah satu kejutan apabila menerima sumbangan RM10,000 daripada UDA.

“Saya sungguh tidak menyangka dan amat berbesar hati dengan sumbangan wang zakat ini.

“Bantuan ini akan digunakan untuk membaik pulih tangga, pendawaian elektrik dan menambah baik peralatan sekolah,” katanya.

Sekolah itu mempunyai 189 pelajar dengan dua sesi persekolahan untuk darjah satu hingga darjah enam.

Sementara itu, Pengerusi UDA Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membolehkan UDA menyampaikan RM820,000 wang zakat kepada semua penerima.

“Ia dilakukan menerusi Outreach Program - Enriching Life di beberapa tempat termasuk sekitar Pulau Pinang, Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Terengganu, Titiwangsa dan Wangsa Maju.

“Sumbangan hari ini diberikan kepada rumah anak yatim, sekolah agama, madrasah dan surau berjumlah RM60,000.

“Diharap sumbangan zakat ini dapat meringankan beban penerima dan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 4:13am
d