mutakhir

Bersiap sedia atas bukit

Oleh Shahrinnahar Latib

Pekan: Trauma akibat banjir yang sering ‘membadai’ kampung mereka menyebabkan penduduk Perkampungan Orang Asli Tanah Merah, Chini, dekat sini, membina bangsal di atas bukit sebagai persiapan kemungkinan diancam bencana itu pada musim tengkujuh ini.

Bangsal diperbuat daripada tiang kayu, buluh dan beratapkan kanvas serta daun nipah itu mampu memuatkan sehingga 10 orang akan dijadikan tempat berteduh sementara menunggu banjir surut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanah Merah, Zahari Samah, 41, berkata, terdapat 75 keluarga membabitkan 225 penduduk tinggal di kampung berkenaan yang terletak berhampiran Sungai Pahang.

“Kampung ini memang sering terjejas akibat banjir sejak puluhan tahun lalu. Malah, kampung didiami masyarakat Orang Asli suku Temuk ini ditenggelami air sehingga ke paras bumbung rumah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Katanya, berikutan itu mereka sepakat mendirikan bangsal yang mampu memuatkan dua keluarga atau sehingga 10 orang sebagai persediaan menghadapi banjir.

“Bangsal dibina dilengkapi kemudahan asas seperti ruang tidur, tempat memasak dan tandas. Kami juga sudah bersedia dengan keperluan asas seperti bekalan makanan termasuk beras dan barangan dapur,” katanya.

Zahari berkata, walaupun ada kemudahan dewan untuk persediaan banjir, masyarakat di situ lebih suka tinggal bersama keluarga mereka.

Sementara itu, penduduk, Chain Al Ahim, 45, berkata, bangsal berkenaan dibina menggunakan kayu melokan dan buluh dengan beratapkan kanvas serta daun nipah.

“Sehingga kini, enam bangsal sudah disiapkan dan sebanyak 15 pondok dirancang untuk dibina bagi menampung penduduk di kampung ini jika berlaku banjir,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 4:39am
d