mutakhir

391 penagih 'kuasai' Kajang

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kajang: Daerah Kajang mencatatkan jumlah penagih teramai yang berada dalam pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat iaitu seramai 391 penagih dan menunjukkan penggunaan terbanyak dadah jenis Opiat, methamphetamine dan ganja.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, penggunaan dadah di daerah Kajang adalah yang tertinggi antara lima daerah yang berada di bawah pengawasan AADK Hulu Langat termasuk Cheras, Semenyih, Hulu Langat dan Beranang.

Menurutnya, seramai 981 penagih dadah berada dalam pengawasan AADK termasuk 291 kes di Cheras, 142 di Semenyih, 88 di Hulu Langat dan 69 di Beranang.

“Kedudukan bandar Kajang yang banyak akses masuk ke daerah ini dan berhampiran lebuh raya utama dipercayai punca kes pengedaran serta penagihan dadah di daerah ini antara yang tertinggi di Selangor.

“Selain mengadakan operasi lebih kerap, kami turut mengadakan kempen pencegahan. Malah, baru-baru ini, dengan kerjasama pelbagai pihak berkuasa, satu sarang penagihan dadah terbesar di Kajang berjaya dibersihkan. Namun, ia hanya membabitkan 30 peratus jumlah penagih sedia ada,” katanya kepada Harian Metro.

Ramlan berkata, berdasarkan pengambilan jenis dadah, Opiat iaitu heroin, morfin, candu dan kodein mencatatkan 372 penggunaan, dengan Kajang menunjukkan penggunaan tertinggi sebanyak 144 kes.

Katanya, diikuti penggunaan dadah jenis methamphetamine iaitu syabu dan pil kuda sebanyak 277 kes, lain-lain jenis dadah (178), ganja (132), pil psikotropik dan pelbagai pil ATS seperti ekstasi sebanyak 20 kes dan serta dua kes membabitkan ketamin.

“Berdasarkan rekod individu yang berada dalam pengawasan, lingkungan umur penagih dadah teramai berusia 20 hingga 44 tahun dengan paling banyak berusia 30 hingga 34 tahun iaitu 184 penagih, diikuti 174 individu berusia 25 hingga 29 tahun.

“Malah, mengikut rekod, usia paling muda penagih dadah yang berada di bawah pengawasan AADK Hulu Langat ialah seorang remaja berusia 16 tahun dan tiga penagih dadah muda berusia 17 tahun,” katanya.

Ramlan berkata, individu yang berada di bawah pengawasan perlu melapor diri ke pejabat AADK Hulu Langat atau lokasi yang ditempatkan untuk pemantauan terkini termasuk pemeriksaan ujian air kencing setiap kali perjumpaan.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 5:36am
d