mutakhir

Suspek bunuh tiga beranak diburu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS Kelantan sudah mengenal pasti suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh tiga beranak di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, suspek dikenal pasti sebagai Sharat Eh Wan @ Pot, 31, yang juga pekerja mangsa sejak tiga tahun lalu.

Katanya, usaha memburu suspek yang berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat sedang giat dijalankan.

"Kita percaya penangkapan suspek dapat membantu selesaikan kes ini.

" Oleh itu orang ramai yang memiliki maklumat diminta terus berhubung dengan balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

" Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan angkara dendam, tiga beranak maut, manakala seorang lagi kritikal selepas ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul serta besi di rumah di Taman Bahagia.

Dalam kejadian 2.30 petang itu mereka yang maut adalah Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Sementara itu, anak perempuan, Kha Xing Rhuu, 15, parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Kejadian itu disedari penduduk yang melalui kawasan terbabit dan melihat suspek melarikan diri bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.

Berita berkaitan:

Tiga beranak dibunuh

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:22am
d