mutakhir

Padah rasuah RM890,000 kepada APMM [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SEORANG wanita warga Vietnam bergelar Datuk ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes memberi suapan bernilai RM890,000 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai balasan melepaskan bot Vietnam yang ditahan penguatkuasa.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ainna Sherina Saipolamin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh ditahan bagi membantu siasatan berhubung lima transaksi suapan yang diberikan kepada pegawai penguatkuasa APMM sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, wanita berusia 41 tahun itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu atas tuduhan memberi suapan bernilai RM800,000 kepada dua Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas sembilan bot miliknya yang melakukan pelbagai kesalahan pada 5 November lalu.

Mahkamah sama membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bersama syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis Kuantan setiap bulan selain kes ditetapkan pada 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian ditahan semula di Ibu Pejabat SPRM Pahang, jam 12.10 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Pada 6 November lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar mendedahkan 22 individu termasuk seorang wanita warganegara Vietnam bergelar 'Datuk' ditahan dalam satu operasi secara besar-besaran dikenali Ops Armada agi membongkar isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Operasi dijalankan menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Beliau dipetik sebagai berkata, dalam operasi itu, enam penjawat awam termasuk lima anggota APMM dan seorang kakitangan Jabatan Perikanan turut ditahan.

Wang tunai RM1.9 juta dirampas dan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta dibekukan.

Dzulkifli berkata, ada tiga modus operandi pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara iaitu sama ada masuk secara terus, menggunakan bot dengan nombor pendaftaran klon selain meletakkan bendera Malaysia dan ketiga ialah menggunakan permit nelayan tempatan disalahgunakan dengan sedikit bayaran.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 11:11am
d