mutakhir

Lalok dalam hujan

Oleh Nur Syazwana Mansor

DUA puluh tujuh penagih ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Daerah Pendang dalam operasi di empat kampung di Pendang bemula jam 3 petang semalam hingga 2 pagi, hari ini.

Ketua Operasi AADK Pendang Mohd Hafiz Mansor berkata, beliau bersama 10 anggota menjalankan operasi di port penagihan di ladang kelapa sawit dan serbuan di rumah.

Mohd Hafiz berkata, empat kampung yang diserbu ialah Kampung Paya Nedam, Kampung Tok Besah, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Sukamari.

Serbuan pertama bermula pada 3 hingga 6 petang di port penagihan ladang kelapa sawit dan 23 individu ditahan.

“Walaupun hujan, port itu masih dikunjungi oleh penagih dadah kerana dadah adalah segalanya bagi mereka.

“Pihak AADK mengalami kesukaran kerana port penagihan kelapa sawit ini luas dan mempunyai banyak lorong tikus yang memudahkan penagih dadah lari ketika serbuan,” katanya dihubungi hari ini.

Katanya, operasi kedua bermula sekitar 11 malam dan berakhir 2 pagi tadi dengan empat individu ditangkap di empat rumah.

“Kita berjaya menahan mereka walaupun ada yang bersembunyi di atas bumbung dan ada yang melawan, menyebabkan kecederaan ringan kepada anggota AADK," katanya.

Katanya, semua 27 penagih yang ditahan berusia antara 17 hingga 47 tahun dan mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Pendang untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati ada antara mereka bekerja menoreh getah dan pesawah serta ada yang tidak bekerja.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

“Seramai 20 orang akan direman di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat, Pulau Pinang manakala tujuh yang lain diberi jamin pegawai AADK.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan ) 1983,” katanya ketika dihubungi semalam.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 2:12pm
d