mutakhir

Untunglah...

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

SERAMAI 200 penduduk FELDA Batu Lapan, Changlun tidak melepaskan peluang menukar minyak enjin motosikal secara percuma sempena Karnival Khidmat Masyarakat di tanah rancangan itu, hari ini.

Penyelaras program, Datuk Samsuddin Ahmad berkata, perkhidmatan ini disediakan oleh pihak Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra bagi meringankan beban penduduk menyelenggara motosikal mereka.

Katanya, orang ramai khususnya pemilik motosikal berpusu-pusu mendapatkan perkhidmatan itu yang bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

"Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan bagi motosikal yang sudah lama tamat tempoh cukai jalan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Jitra.

"Menerusi program ini juga diadakan program membersihkan masjid dan kawasan tanah perkuburan," katanya ditemui pada program itu yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Program itu turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah Kubang Pasu, Pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berlangsung di dewan orang ramai tanah rancangan itu.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 5:33pm
d