mutakhir

Selepas 2 anak, isteri pula pergi

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SELEPAS 23 hari bertarung nyawa, jururawat yang parah dalam kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Machang, Kuala Krai, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia( HUSM), Kubang Kerian, pada 3.15 pagi hari ini.

Siti Hajaratul Aswad Che Kar, 35, menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya Mohd Azamin Setapa,39.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Besar Tanah Merah pada 2 petang hari ini berhampiran pusara dua arwah anaknya.

Dalam kejadian 6.30 petang, 24 Oktober lalu, dua anaknya Nur Alia Nisrina Mohd Azamin, 12, dan Muhamad Azam Tamim berusia enam bulan meninggal .

Terdahulu, arwah Siti Hajaratul Aswad yang parah di kepala menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dirujuk ke HUSM untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu remaja berusia 18 tahun dari arah Gua Musang hilang kawalan dan merempuh kereta Perodua Kancil dinaiki tiga mangsa.

Kemalangan itu mengakibatkan dua kanak-kanak maut sementara ibunya parah.

Sementara itu, Mohd Azamin ketika dihubungi berkata, sejak dimasukkan ke hospital, dia sentiasa berada di sisi arwah isterinya.

"Pemergiannya amat saya dirasai, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Berita berkaitan:

Ajal dua beradik

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 6:17pm
d