mutakhir

Galakkan gaya hidup sihat

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PROGRAM Komuniti Fit Fun Aerodance By-The-Sea anjuran Eastern & Oriental Berhad (E&O) berjaya menarik lebih 200 penyertaan dalam senamrobik di Taman Awam Straits Green, Sri Tanjung Pinang, Georgetown, semalam.

Ia mencapai matlamat penganjur mempromosi dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Operasi Tanjung Pinang Development Sdn Bhd Mark Schoonheim berkata, program itu adalah antara aktiviti dijalankan bersama komuniti di Tanjung Tokong sejak dua tahun lalu.

Katanya, sejak itu bilangan peserta makin bertambah dan ia menunjukkan perkembangan positif orang ramai mengenai amalan hidup sejahtera.

"Acara komuniti ini satu lagi tradisi tahunan oleh E&O bagi menekankan gaya hidup sihat dan kepentingan menjaga kesihatan.

"Amat menggembirakan apabila melihat peserta daripada pelbagai latar belakang dan budaya berkumpul di sini bagi tujuan sama iaitu bagi menjaga kesihatan," katanya.

Bagi memeriahkan majlis, semua peserta menerima cenderahati malah 20 lagi menerima hadiah cabutan bertuah dan 10 hadiah peserta paling bertenaga.

E&O turut menganjurkan sesi latihan kecergasan dan aerobik secara percuma kepada orang ramai di taman awam itu pada setiap hari Jumaat jam 6 petang.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 8:01pm
d