mutakhir

Gajah ditembak pemburu haram

Oleh Nasrawati Syarifuddin

BANGKAI gajah jantan ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamata, Jalan Merotai-Kalabakan, dekat Tawau, Rabu lalu.

Gajah jantan dengan ketinggian 2.7 meter (m) itu dipercayai ditembak oleh pemburu haram, sebelum bangkainya ditemui pekerja ladang terbabit.

Mereka kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pihaknya kini menjalankan siasatan berhubung penemuan bangkai gajah itu.

"Gajah terbabit mungkin ditembak di tempat lain, sebelum mati di lokasi bangkainya ditemui oleh pekerja ladang.

"Ketika dijumpai, gading gajah itu masih ada.

"Bedah siasat kemudian menemui tiga peluru pada bangkai gajah terbabit," katanya ketika dihubungi.

Augustine berkata, pihaknya kini berusaha mengesan individu yang menembak gajah berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya memerlukan kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan.

"Saksi kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

September lalu, dua bangkai gajah 'Pygmy Borneo' dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan.

Kes pertama membabitkan penemuan bangkai anak gajah jantan pada 10 September di Dumpas, Tawau.

Bangkai gajah kedua ditemui di Sungai Kinabatangan dua minggu kemudian, dipercayai angkara dibunuh pemburu haram berikutan gadingnya dipotong, sebelum bangkai haiwan berkenaan dibuang ke sungai.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 8:18pm
d