mutakhir

10 miliki waran tangkap trafik ditahan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEKIAN lama dikesan, 10 lelaki yang mempunyai waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik akhirnya ditahan polis trafik dalam Ops Warta di Kilometer 1, Jalan Alor Setar-Butterworth hari ini.

Dua daripada mereka iaitu remaja berusia 20 tahun dan pemuda berusia 40 tahun kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar.

Mereka kemudiannya didenda RM3,500 dan RM400, masing-masing, selepas mengaku bersalah atas sembilan dan satu kesalahan trafik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, pihaknya menasihati pesalah trafik yang memiliki saman untuk segera menyelesaikan bayaran.

Katanya, pihaknya memiliki pelbagai cara bagi mengesan pesalah trafik dan tidak berkompromi mengenainya.

"Remaja itu turut dikenakan hukuman penjara 32 hari oleh mahkamah sekiranya gagal membayar denda terbabit, manakala lelaki berusia 40 tahun itu berdepan hukuman penjara empat hari jika gagal membayar denda," katanya kepada pemberita selepas tamat Ops Warta berkenaan petang tadi.

Zahari berkata, lapan lagi lelaki yang ditahan dengan keseluruhan 15 waran tangkap itu bagaimanapun, memilih untuk menjelaskan saman sebanyak RM4,500 di kaunter trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Selain itu, katanya operasi bermula jam 9 hingga 3 petang itu turut mengeluarkan 150 saman membabitkan 152 kesalahan seperti tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang dan menggunakan telefon bimbit.

Katanya, operasi juga dilakukan bersama anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)yang mengeluarkan 130 saman atas pelbagai kesalahan.

“Pihak saya ingin mengingatkan supaya orang ramai supaya peka dengan setiap waran tangkap yang diterima.

"Malah bagi mereka yang mempunyai banyak saman trafik, polis menggalakkan mereka membayar sebahagian daripada saman supaya tidak membebankan mereka," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:25pm
d