mutakhir

Gembirakan mereka

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SERAMAI 80 kanak-kanak cerebral palsy diberi peluang menunjukkan bakat dalam pelbagai aktiviti diadakan di Persatuan Kanak-kanak Cerebral Palsy (Spastic) Pulau Pinang (SCAP), Jalan Masjid Negeri, Georgetown, hari ini.

Aktiviti anjuran G Hotel itu turut disertai lebih 20 kakitangan hotel bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat hotel berkenaan.

Antara aktiviti dijalankan ialah sukaneka, mewarna, seni cat muka serta sesi beramah mesra dengan adi wira Superman.

Pengurus Besar G Hotel, Michael Hanratty berkata, ia adalah aktiviti pertama kali dijalankan bersama kanak-kanak persatuan itu dan hotel berkenaan aktif melaksanakan pelbagai program amal bersama insan kurang bernasib baik.

Katanya, bukan sahaja sebagai rasa tanggung jawab menggembirakan golongan itu, tetapi ia bagi memberi pendedahan kepada kakitangannya mengenai kerja dalam pasukan.

"Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran dan komitmen kakitangan kami bagi menjayakan aktiviti bersama insan istimewa.

"G Hotel turut menyumbangkan 100 bekas makanan berjenama Tupperware serta sumbangan sebanyak RM1,000 bagi kegunaan persatuan dan kanak-kanak itu," katanya.

Terdahulu, Michael turut dibawa melawat kawasan sekitar SCAP oleh Pentadbir Persatuan, Betty Ng sebelum diadakan gotong-royong membersihkan halaman bangunan itu.

Sementara itu, waris, Natrah Zaini, 39, berkata, dia memang menggalakkan anaknya, Qistina Mohd Ains Sham, 9, menyertai aktiviti berkenaan berikutan tingkah laku anaknya gemar berkawan.

Qistina dilahirkan normal, namun ketika berusia enam bulan, perkembangannya menjadi lambat dan tidak lama kemudian disahkan sebagai cerebral palsy dan kini hanya bergerak menggunakan kerusi roda berikutan tulang belakang dan kakinya tidak kuat.

"Biasanya selepas menyertai aktiviti, perkembangannya terhadap sesuatu perkara akan menjadi lebih positif terutama bagi aktiviti yang merangsang kepekaannya.

"Dia tidak dapat berjalan, namun Qistina akan menggoyangkan badan apabila mendengar muzik, menunjukkan perkembangan positif apabila mendengar bunyian," kata kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:45pm
d