mutakhir

Minta salur maklumat kemalangan maut

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan kejadian kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Raja Jumaat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.25 malam itu, mangsa warga Pakistan, Wahid Khan, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa bergesel dengan sebuah motosikal lain.

“Akibat pergeseran itu, kedua-dua penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya. Wahid Khan yang menunggang motosikal Modenas Kriss kemudian digilis sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran.

“Wahid Khan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 30 tahun mengalami kecederaan pada bahagian bahu. Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 4:05am
d