mutakhir

Robot rumput

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Putrajaya: Robot penanam rumput gandum ciptaan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Bangsar, Kuala Lumpur memenangi pingat emas Kejohanan Robotik Dunia (WRO) 2017 kategori Terbuka Sekolah Rendah, sekali gus menjadikan Malaysia naib juara keseluruhan kejohanan itu.

Ciptaan tiga murid iaitu Chloe Mak Yu Ying, 10, Loh Huey Xin, 11, dan Tan Ji Tao, 11, yang diberi nama The Green Amazing menarik hati juri dan melayakkan mereka meraih pingat emas pada kejohanan yang berlangsung pada 10 hingga 12 November lalu di San Jose, Costa Rica.

Ketua pasukan The Green Amazing, Loh berkata, pasukannya mengambil masa sembilan bulan untuk mencipta robot ‘The Green Amazing’ yang mempunyai kepakaran menanam rumput gandum tanpa menjejaskan alam sekitar untuk bekalan makanan binatang ternakan.

“Rumput yang ditanam akan menghasilkan bekalan makanan untuk keperluan binatang ternakan, sekali gus boleh menjimatkan tenaga kerja manusia.

“Persaingan sangat sengit kerana peserta negara lain juga mempunyai idea yang pelbagai dan menarik, tetapi kami gembira akhirnya robot dengan kos RM1,000 berjaya memenangi pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam bersama kontinjen Malaysia yang bertanding di kejohanan berkenaan.

Ketibaan kontinjen Malaysia disambut Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad.

Kontinjen Malaysia muncul naib juara keseluruhan WRO 2017 selepas merangkul satu pingat emas dan dua pingat perak dalam kejohanan disertai 500 pasukan daripada 50 negara itu.

Dua pingat perak diraih dalam kategori Regular iaitu Kategori Regular Sekolah Menengah Rendah dan Kategori Regular Sekolah Menengah Atas oleh pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Miri, Sarawak.

Semua kategori yang dipertandingkan dalam WRO 2017 direka khusus mengikut tema tahun ini, iaitu Sustainabots-Robot for Sustainability dan peserta dicabar mencipta robot yang dapat menjaga bumi dan membuat perubahan positif sambil menitikberatkan aspek persekitaran, sosial serta ekonomi.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 4:34am
d