mutakhir

Tolak injunksi Husam

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kota Bharu: “Keputusan ini mengambil kira semua elemen secara menyeluruh dan saya minta kedua-dua pihak menghormati keputusan ini serta pastikan tiada perkara buruk berlaku,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Kelantan Datuk Ahmad Bache.

Beliau berkata demikian selepas memutuskan menolak injunksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah menempatkan bangunan Wisma Tok Guru, Salor di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Injunksi itu ditolak dengan kos RM7,000 yang perlu ditanggung Husam selaku plaintif.

Pada alasan penghakimannya, Ahmad mengambil kira plaintif yang diwakili peguam Zaidan Ali bersama pasukannya tidak mempunyai locus standi kukuh untuk menghalang defendan mendekati tanah berkenaan.

“Keputusan ini mengambil kira fakta paling utama iaitu defendan (Mohd Yasin Yusoff) adalah pemilik tanah yang sah melalui Kanun Tanah Negara 1965 dan plaintif tidak mempunyai alasan kukuh untuk menyangkal hak milik tanah.

“Ia sekali gus menunjukkan kukuhnya kuasa pendaftaran milikan tanah itu.

“Mahkamah turut meneliti kenyataan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah dilaporkan media sebelum ini yang membenarkan PAS untuk menggunakan tanah tersebut bagi tujuan solat hajat (malam tadi).

“Ia juga sudah dimasukkan sebagai antara afidavit yang diambil kira untuk membuat keputusan ini, apatah lagi program solat adalah suatu program yang sangat baik dan turut mendapat permit polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Husam mengemukakan injunksi itu untuk menghalang Mohd Yasin yang juga Setiausaha Kerja PAS mengganggu kawasan wisma itu sehingga status quo pemilikan tanah dan bangunan diputuskan mahkamah pada perbicaraan bulan depan.

Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang menamakan isterinya sebagai pemilik, dijual kepada Mohd Yasin dengan nilai RM700,000.

Susulan itu, PAS menghantar notis mengarahkan Husam keluar daripada premis berkenaan yang tamat pada 12 November lalu.

PAS juga mahu mengadakan satu majlis kesyukuran dan solat hajat, berlangsung malam tadi.

Pihak defendan diwakili peguam Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin yang ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan mahkamah diterima baik pihaknya dan memberi jaminan untuk menjaga tatasusila penganjuran program.

“Kami juga menghormati keputusan mahkamah dan program akan berlangsung di pekarangan wisma tanpa ada sebarang kekecohan,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 5:14am
d