mutakhir

Denda RM400 pakai kostum pengebom

Oleh Murni Wan Omar

LELAKI warga Yaman dikenakan hukuman denda RM400 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas kesalahan memakai kostum pengebom berani mati di kondominium, hujung Oktober lalu.

Majistret Nurul Huda Zakariya menjatuhkan hukuman itu terhadap Amjad Jalal Ahmed Al Dahan, 34.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan penjara empat hari jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan mudarat awam dengan memakai kostum itu di tempat awam.

Amjad Jalal didakwa melakukan perbuatan itu di Kondominium Armanee Terrace pada 7.40 malam, 28 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM400.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali manakala tertuduh diwakili peguam Puan Sri N Saraswathy Devi dan R Alagendra.

Terdahulu, Norazalina memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam lain yang mahu melakukan perbuatan sama.

Sementara itu Alagendra berkata anak guamnya memohon maaf atas perbuatan itu dan mendakwa tidak berniat untuk menganggu ketenteraman awam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki berpakaian jubah putih dan diikat ‘bom’ pada pinggangnya dilihat menaiki lif di sebuah kondominium sehingga menakutkan penduduk setempat.

Lelaki itu difahamkan berpakaian begitu kerana dipercayai menghadiri parti Halloween di situ.

Berita berkaitan:

Kan dah kena tahan

Cari pasal pakai kostum ni...

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 1:35pm
d