mutakhir

Beri bantuan keperluan mangsa banjir

Oleh Zulfa Mohamad

SELAIN pelbagai jenis makanan, kain pelikat, kain batik, telekung, sejadah dan pakaian dalam turut diberikan serta menjadi keperluan mangsa banjir.

Barangan berkenaan diagihkan kepada mangsa banjir dari beberapa kampung sekitar pekan ini sempena Program Misi Sayang Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia di Tasek Gelugor, hari ini.

Program dengan kerjasama Wanita UMNO Pulau Pinang itu sebagai tanda simpati terhadap mangsa banjir yang mengalami kerosakan harta benda dalam bencana dua minggu lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Rosni Sohar berkata, sebelum ini Skuad Sayang Wanita UMNO negeri sudah turun padang dan memberi bantuan makanan kepada mangsa banjir.

"Hari ini kami bagi barang keperluan yang mungkin dilihat remeh, tetapi penting kepada mangsa banjir.

"Kain, telekung, sejadah dan pakaian dalam adalah keperluan harian boleh dimanfaatkan selepas banjir," katanya selepas menyampaikan bantuan pasca banjir di Dewan Kemas Pokok Machang, Tasek Gelugor.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Mohamad Yusoff Mohd Noor dan Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang Datuk Norliza Abdul Rahim.

Rosni berkata, pihaknya turun padang untuk membantu rakyat tidak kira ketika aman atau apabila bencana menimpa dan bermula dari hari pertama banjir hingga sekarang, pihaknya masih turun padang membantu mangsa kerana simpati dengan mereka.

Sementara itu, Norliza berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana menghulurkan bantuan tanpa mengira perbezaan politik.

Beliau berkata, tumpuan bantuan diberikan kepada lima kawasan parlimen paling terjejas dengan banjir iaitu Tasek Gelugor, Kepala Batas, Bukit Mertajam dan Balik Pulau.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 6:15pm
d