mutakhir

Bakal dilengkapi senjata api

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang bakal dilengkapi senjata api tidak lama lagi sebagai kesiapsiagaan dalam melaksanakan tugasan serta operasi membanteras penagihan dadah terutama dalam kalangan remaja dan belia yang semakin meningkat di negeri itu.

Pengarah AADK negeri, Mohd Azlan Mohd Nor berkata, setiap pegawai penguat kuasa AADK perlu dilengkapi senjata api memandangkan pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhi.

Beliau berkata, kesiapsiagaan setiap pegawai dan anggota AADK amat diperlukan bukan sahaja daripada segi kegunaan senjata, tetapi mental dan fizikal secara khususnya.

"Persiapan awal amat perlu dan setiap pegawai penguat kuasa AADK perlukan pendedahan teknik menembak sebenar.

"Latihan ini adalah langkah proaktif apabila persediaan awal dilaksanakan pihak AADK dalam teknik pengunaan senjata api pada setiap pegawai penguat kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pembangunan Pengajar (TOT) Penguatkuasaan dan Asas Persenjataan AADK Pulau Pinang di Lapang Sasar Sungai Dua, Georgetown hari ini.

Hadir sama, Ketua Komponi Markas 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mejar Jefri Ismail, Pengarah Pusat Pemulihan AADK Bukit Mertajam Elmariah Chung dan Ketua Penguatkuasa dan Keselamatan AADK negeri Nasruddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan berikutan jumlah penagih baru dalam kalangan belia semakin meningkat tahun ini.

Beliau berkata, dalam operasi berkala AADK negeri sehingga September lalu, mendapati orang kena pengawasan (OKP) berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,639 orang.

Katanya, penagih berusia antara 31-40 tahun adalah 2,256 orang manakala usia 41 hingga 50 tahun sekitar 1,752 orang manakala 51 tahun ke atas sekitar 1,075 orang.

"Bagi penagih dadah berusia antara 19 hingga 20 tahun hanyalah sekitar 289 orang manakala yang berusia 14 hingga 18 tahun 89 orang sahaja.

"Daerah Timur Laut mencatatkan jumlah OKP tertinggi dengan 2,406 orang berbanding Seberang Perai Tengah (2,217), Seberang Perai Utara (1,749), Barat Daya (1,349) dan Seberang Perai Selatan (679)," katanya.

Dalam pertandingan menembak itu, pasukan AADK Daerah Timur Laut diwakili Mohd Hasdinoor Abd Hamid, Mohamad Fahmi Norzelan, Amil Shafiq Jaafar Sidik dan Mohd Aziz Jamlan muncul juara keseluruhan.

Tempat keduadimenangi pasukan Satu diwakili Mohd Azlan bersama Elmariah Chung, Nasruddin Abdul Rahman dan Mahzan Othman.

Tempat ketiga dimenangi Pasukan Tahanan Reman Kg Selamat yang diwakili Shahiran Ramli, Mohd Syafiq Arshad, Noraihan Abdul Rashid dan Shahfarizal Shaharim.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 6:27pm
d