mutakhir

Cuaca bertambah baik

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KEADAAN cuaca yang bertambah baik di Kubang Pasu menyebabkan air mulai surut .

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Zul Khairi Shamsudin berkata, air dijangka surut dalam tempoh terdekat kerana ia tiada kaitan dengan air pasang besar.

“InsyaAllah hari ini mungkin jumlah mangsa akan berkurangan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Ini kerana pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha untuk mengalirkan air yang memenuhi sawah dan tali air ke laut untuk mengurangkan paras air banjir," katanya.

Katanya, hujan lebat sejak Selasa lalu menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu dilanda banjir selepas sungai melimpah.

Hujan lebat itu menyebabkan air sungai dari Changlun dan Sintok melimpah ke beberapa kawasan yang berisiko dan rendah.

Sementara itu, Mohd Zul Khairi berkata, banjir di Kota Setar pula tidak mempunyai kaitan dengan aliran air sungai di kawasan Changlun dan Jitra kerana aliran sungai di sana (KotaSetar) adalah dari Sungai Padang Terap.

"Bagaimanapun kita akan sentiasa mengambil langkah bersedia selain memantau arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sama ada banjir akan berlaku sekali lagi atau sebaliknya.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berlakunya banjir dinasihatkan supaya bersiap sedia sekiranya hujan lebat berterusan melebihi empat jam yang boleh menyebabkan banjir seperti ini," katanya.

Beliau berkata, untuk banjir kali ini, pihaknya mengerahkan 100 anggota APM Kubang Pasu dan Kota Setar untuk membantu penduduk yang berpindah di PPS selain bantuan yang diperlukan mereka.

"Saya juga menasihatkan penduduk yang baru pulang ke rumah supaya berhati-hati dengan kehadiran binatang berbisa yang berlindung dalam rumah selepas banjir, "katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 6:32pm
d