mutakhir

Dah jangka kena banjir lagi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA warga emas, Rokiah Mustafa, 73, yang tinggal seorang diri di sebuah rumah di Kampung Paya Tok Teh, Jitra, bersedia menghadapi banjir gelombang kedua dengan

mengemas pakaiannya dalam plastik dan diikat atas para selepas rumah dilanda banjir.

Dia yang masih trauma dengan kejadian gelombang pertama banjir di kampung itu pada September lalu, menjangka kediamannya itu akan dilanda banjir sekali lagi apabila hujan lebat sejak kelmarin.

"Kira-kira 4 pagi kelmarin, tok dengar bunyi bising kereta dan motosikal di depan rumah sebelum ternampak air dah mula naik.

"Mujur ketika itu hujan sudah berhenti dan tok terus keluar dari rumah menuju ke Dewan Kampung Bata ini yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), " katanya ketika ditemui di PP Dewan Kampung Bata, di sini, hari ini.

Rokiah berkata, suaminya baru meninggal dunia tahun lalu dan tidak mempunyai anak menyebabkan dia tinggal seorang diri di rumah itu.

Katanya, dia bernasib baik kerana rumahnya tidak mempunyai perabot dan barang yang ada sebelum ini sudah disimpan baik di atas para rumahnya.

Penduduk lain, Shahrom Ali, 60, berkata, dia yang pulang ke rumahnya di Kampung Paya Tok Teh hari ini mendapati paras air surut setakat paha berbanding paras pinggang semalam.

Katanya, dia berharap supaya air cepat surut kerana mahu mencuci rumahnya yang dipenuhi lumpur.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana sepanjang berada di PPS ini kami dilayan dengan baik dan cukup dengan bantuan keperluan tidur dan makanan.

"Bagaimanapun saya berharap sangat supaya air surut sepenuhnya kerana banyak yang perlu dibuat termasuk mengemas rumah," katanya yang lebam di betis kanan selepas tergelincir, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita lebam di betis kanan selepas tergelincir ketika hendak mengambil barang di rumahnya yang dinaiki air.

Shahrom hanya menyedari air mula masuk ke rumahnya pada 4 pagi selepas pintu rumah diketuk penduduk kampung yang memberitahu kampung itu dilanda banjir.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 7:22pm
d