mutakhir

Didakwa pukul sampai mati

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

PENIAGA mee udang didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas tuduhan membunuh ibu angkat isterinya dalam kejadian akhir bulan lalu.

Lim Bu Kwang, 43, didakwa membunuh Ooi Swan Hong @ Ng Swan Foong, 70, antara 25 hingga 28 Oktober lalu di rumah No 18, Lorong Sembilang 3, Taman Teluk Pulai, Klang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amira Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus dan Ethan WH Tan.

Mahkamah menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, patologi dan bedah siasat mangsa.

Dalam kejadian itu tertuduh didakwa memukul ibu angkat isterinya sehingga maut.

Polis menerima maklumat daripada isteri tertuduh yang berusia 36 tahun selepas dia membuat laporan polis.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) 3 November lalu selepas dibawa anak angkatnya mendapatkan rawatan lanjut di hospital itu pada 28 Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 7:32pm
d