mutakhir

Kan dah kena ikat...

Oleh Azahar Hashim

TINDAKAN seorang lelaki ingin jual barangan curi selepas memecah masuk tiga rumah penduduk Kampung Karangan, Kulim, mengundang padah apabila dia ditahan sebelum diikat pada pokok kelapa, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, suspek berusia 20-an ditahan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Karangan ketika sedang membuat rondaan selepas menerima aduan daripada penduduk berhubung rumah dipecah masuk.

Setiausaha KRT Taman Seri Karangan, Che Amat Saad, berkata, ahli KRT menjalankan rondaan di kawasan terbabit selepas menerima aduan daripada tiga penduduk mengenai beberapa barangan milik mereka hilang.

Katanya, mangsa hanya menyedari kehilangan barangan milik mereka ketika bangun tidur pagi ini.

"Antara barangan yang hilang seperti kasut, tong gas serta beberapa barang yang boleh dijual di kedai besi buruk.

"Mangsa mengadu banyak barangan yang diletakkan di dalam dan luar rumah didapati hilang menyebabkan mereka membuat aduan kepada ahli KRT," katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Amat berkata, ketika membuat rondaan itu, mereka terserempak dengan lelaki terbabit menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka kemudian menahannya sebelum menemui barangan curi di dalam raga motosikal.

"Kami terpaksa mengikatnya di sebatang pokok kelapa kerana bimbang dia melarikan diri sebelum diserah kepada polis," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 8:02pm
d