mutakhir

Nak jadi penyanyi tersohor [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

REMAJA Orang Asli dari suku Temiar, Faiza Adin, 14, berbakat menyanyi dan bersungguh mahu membina nama sebaris artis ternama Malaysia.

Bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, Gua Musang itu, turut mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri dan diundang untuk mengadakan persembahan dalam majlis dianjurkan.

Semalam, Faiza dijemput menyanyikan dua lagu untuk halwa telinga tetamu pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli Edisi 10 Peringkat Kebangsaan 2017 yang diadakan di Kota Bharu.

Pada majlis itu, Kontinjen Kelantan dinobatkan sebagai juara keseluruhan yang membawa pulang piala dan hadiah iringan.

Faiza berkata, sebelum ini, dia malu menonjolkan bakat nyanyiannya kerana berasa rendah diri dan kurang yakin berhadapan orang ramai.

“Saya juga pernah menarik diri dalam pertandingan nyanyian anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana kurang yakin apatah lagi, hanya saya satu-satunya peserta tunggal Orang Asli dalam pertandingan itu.

“Namun, sokongan keluarga dan guru serta galakan diberikan mereka membuatkan saya lebih yakin dan tidak malu untuk berhadapan orang ramai.

“Saya tidak mahu jadikan darah Orang Asli yang mengalir dalam diri ini sebagai penghalang untuk saya mengejar cita-cita menjadi penyanyi tersohor," katanya yang menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain sebagai idola.

Menurutnya, dia mahu membanggakan keluarganya dan Orang Asli di seluruh negara dengan berusaha mencapai kejayaan menerusi bakat yang ada pada dirinya.

“Saya tidak akan mensia-siakan bakat nyanyian yang dimiliki ini dan akan terus menggilapnya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi," katanya yang berasal dari Kampung Kuala Betis, Gua Musang.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:47pm
d