mutakhir

Semakin kurang duduk hotel di Kelantan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

FAKTOR harga selain kebanjiran rumah inap desa dan tumpangan menjadi antara faktor pelancong kurang memilih hotel termasuk berstatus lima bintang ketika berkunjung ke Kelantan.

Malah, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Negeri Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud berkata, kadar penginapan hotel negeri itu juga menurun 25 peratus bagi suku ketiga tahun ini.

"Diakui keadaan ini memberi kesan kepada pengusaha hotel dalam bandar Kota Bharu khususnya, termasuk hotel berstatus lima bintang.

"Kita juga menerima maklum balas daripada pengusaha hotel negeri yang meminta supaya MOTAC mempergiatkan lagi promosi selain menambah baik program untuk menarik lebih ramai pelancong menginap di hotel.

"Kita juga akan menggunakan kesempatan Tahun Melawat Malaysia 2020 untuk menyusun strategi yang menggalakkan kemasukan pelancongan ke Kelantan.

"Produk pelancongan akan diperkasakan lagi menjelang 2018 sekali gus bantu industri perhotelan," katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Homestay Kelantan 2017 sempena Majlis Makan Malam Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Kelantan di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama, Presiden MAH Kelantan, Maimun Mohd dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin.

Ketika ini terdapat 70 hotel dan 158 pengusaha rumah tumpangan di seluruh negeri yang berdaftar dengan MOTAC Kelantan.

Sementara itu mengulas mengenai larangan wanita bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan dan 'front desk' hotel, Mohd Aidil Afizie berkata, tidak menerima aduan mengenainya.

"Setakat ini Kelantan tidak ada isu berbangkit dalam hal ini, memandangkan kerajaan negeri mewajibkan wanita Islam yang bekerja di hotel mengenakan tudung.

"Namun kita berharap pengusaha hotel di seluruh negara mengamalkan dasar lebih demokrasi dalam kod berpakaian pekerja mereka," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan beberapa anugerah kepada pemenang dengan Anugerah Pendapatan Rumah Tumpangan Terbaik diberi kepada Homestay Kemunchup; Anugerah Rumah Tumpangan Eco-Tourism Terbaik (Homestay Batu Papan) dan Pencapaian Kelestarian Terbaik (Homestay Bukit Jering).

Anugerah Tarikan Pelancongan Terbaik dimenangu Homestay Pantai Suri; Pakej Pelancongan Terbaik (Homestay Seterpa) dan Pengusaha Rumah Tumpangan Terbaik kepada Homestay Kubang Telaga.

Akhbar Harian Metro turut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas (Laporan Media) Terbaik menerusi laporan Kompleks Gua Ikan Makin Hilang Seri tulisan Mohamad Zulhairie Manzaidi.

Semua pemenang membawa pulang plak penghargaan dan hadiah iringan.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 1:27am
d