mutakhir

Usaha dihargai

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Seramai 46 anak warga kerja Media Prima Berhad (Media Prima) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu diraikan dalam Anugerah Kecemerlangan Akademik MPB 2016, semalam.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Tan Sri Ismee Ismail dalam ucapannya berkata, penganjuran anugerah itu sebagai tanda sokongan pihak syarikat terhadap usaha gigih anak kakitangan mencapai kecemerlangan dalam akademik.

“Ia juga sebagai penghargaan kepada kakitangan Media Prima sendiri yang bergelar ibu bapa sehingga sanggup berkorban tenaga dan wang ringgit untuk memastikan kecemerlangan anak masing-masing.

“Diharapkan penghargaan dan pencapaian ini menjadi pencetus kepada semua penerima bagi mencapai kecemerlangan berterusan bukan saja untuk diri sendiri bahkan keluarga dan masyarakat,” katanya pada majlis di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini.

Dalam majlis itu, Ismee turut menyampaikan anugerah kepada Pelajar Terbaik SPM dan Tokoh Pelajar bagi kategori UPSR, PT3 dan SPM.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Pelajar bagi kategori UPSR, J Preeteeba, 13, melahirkan rasa gembira dan ucapan terima kasih kepada Media Prima atas penganugerahan itu.

Pelajar Sekolah Menengah Convent Kajang itu adalah anak kepada kakitangan editorial New Straits Times (NST), A Jayakumar, 47 dan suri rumah K Sugumani, 43.

Ditanya rahsia kejayaannya mendapat 8A, dia berkata, tiada rahsia atau formula khas yang diamalkan sebaliknya dia sentiasa fokus ketika guru mengajar di dalam kelas.

“Saya terus bertanya kepada guru bagi setiap topik yang tidak difahami manakala di rumah pula, ibu menjadi guru yang membimbing saya dalam mata pelajaran yang lemah kerana saya tidak mengambil sebarang kelas tambahan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Operasi Big Tree Outdoor, Mohamad Shukor Ariffin, Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Talib dan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Sumber Manusia Kumpulan MPB, Arzlin Redzwan.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 2:46am
d