mutakhir

Capai sasaran tertinggi

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Malaysia mencatat pertumbuhan 6.2 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, dengan pencapaian itu membuktikan pengurusan ekonomi negara berada di landasan betul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian itu menjadikan Malaysia antara negara yang merekodkan pertumbuhan ekonomi tertinggi di dunia tahun ini.

Beliau berkata, pencapaian itu selaras tuntutan Islam iaitu dengan sentiasa meletakkan sasaran terbaik dan tertinggi di dalam semua urusan dilaksanakan.

“Sebagai umat Islam, kita kena tetapkan tahap kecemerlangan yang perlu dicapai, sekali gus menjadikan apa yang kita buat ada sasaran seperti terbaik, tertinggi, yang kedua-duanya membawa makna cemerlang,” katanya ketika merasmikan Surau Mahmoodiah, Presint 18 di sini, semalam.

Najib, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri turut menyertai penduduk setempat menunaikan solat Jumaat di surau baru itu yang boleh memuatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Perdana Menteri berkata, walaupun mengamalkan prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan namun dalam hal pentadbiran negara, ia mesti meletakkan kecemerlangan sebagai penanda aras.

Beliau berkata, selain ekonomi, pentadbiran agama juga berada di tahap cemerlang dan bertaraf dunia seperti pengurusan Tabung Haji khususnya dalam hal mengendalikan jemaah haji.

“Ini semua berkat kita berpegang kepada Maqasid Syariah yang sentiasa meletakkan kepentingan pada yang hak,” katanya.

Mengenai surau itu, Najib berkata beliau begitu kagum dengan keindahan reka ciptanya malah menyifatkan ia sebagai antara surau paling selesa dan indah pernah dikunjunginya.

Mula dibina pada April 2015 dengan kos RM4 juta sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), surau itu digunakan untuk solat Jumaat buat kali pertama pada 26 Mei lalu.

Terletak bersebelahan Sekolah Rendah Agama Mahmoodiah, surau itu dilengkapi dewan solat utama, pejabat pentadbiran, bilik pengurusan jenazah, dewan serbaguna, kuarters imam dan bilal serta tempat wuduk lelaki dan perempuan.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 2:50am
d