mutakhir

Suara rakyat Malaysia

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) melancarkan kempen 100,000 tandatangan menyokong Kembara Watikah Keamanan yang akan memulakan perjalanan pada 25 November ini.

Dianjurkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Presidennya Datuk Abdul Halim Ali berkata, 50 sukarelawan termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura akan mengembara ke seluruh negara sempena World Day of Solidarity.

Katanya, suara seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan bencikan keganasan akan disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pada 1 Disember ini.

“Seramai 50 sukarelawan motosikal berkuasa tinggi daripada PERMAS International Bikers Club (PIBC) yang mewakili Malaysia dan Singapura akan menyertai misi itu nanti,” katanya.

Abdul Halim berkata, jelajah itu yang diadakan kali pertama seumpamanya di negara ini dan ia pendirian tegas NGO yang bukan atas dasar agama atau rasis, tetapi kemanusiaan sejagat dan selaras dengan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami doakan ia berjalan lancar dan menjadi pencetus kepada gelombang cintakan keamanan di negara ini. Secara tidak langsung ia melahirkan masyarakat yang penyayang dan bencikan keganasan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama sukarelawan hadir ke Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), semalam untuk melancarkan siri jelajah itu yang menyasarkan 100,000 tandatangan diperoleh dalam tempoh itu terdiri daripada orang perseorangan, pemimpin setempat dan NGO.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:04am
d