mutakhir

Jom kita pi pasar!

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Selalunya kami membelanjakan RM200 sebulan bagi membeli barangan dapur, tetapi dengan adanya program Jom Pi Pasar ini, ia membantu menjimatkan lagi perbelanjaan kami sekeluarga bulan ini,” kata Farah Diba Shari, 34.

Suri rumah berkenaan antara 300 keluarga tentera darat yang menerima kupon perbelanjaan barangan dapur dalam program Jom Pi Pasar anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Wangsa Maju dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).

Menurut ibu kepada tiga anak berusia tiga hingga 12 tahun itu, program berkenaan bersesuaian dianjurkan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang menetap di bandar dalam menghadapi situasi kos sara hidup tinggi pada masa kini.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya lepas juga duit dapur kami untuk bulan ini dan boleh disimpan untuk kegunaan lain.

“Saya berterima kasih kepada penganjur dan penaja kerana prihatin menganjurkan program ini dan diharapkan ia berterusan pada masa akan datang,” katanya pada program itu di Kem Wardieburn di sini, semalam.

Selain kupon bernilai RM20, semua penerima masing-masing turut menerima satu beg makanan asas seperti beras, tepung, gula dan sardin.

Hadir pada program itu ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, Pengerusi MPWK Wangsa Maju Datuk Noor Aieni Mohd Ali dan Panglima 4 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.

Sementara itu, Noor Aieni berkata, program berkenaan kali kelima dianjurkan sepanjang tahun ini bagi meringankan beban serta mendekati masyarakat sekitar Wangsa Maju.

“Kami anjurkannya setiap bulan dan setakat ini sambutan amat memberangsangkan apabila ramai menyertainya.

“Kami juga berterima kasih kepada FAMA kerana menyumbangkan 300 bungkus sayuran pelbagai jenis pada hari ini (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:08am
d