mutakhir

Tembak guna senapang patah

Oleh Poliana Ronnie Sidom

Tawau: Gajah jantan yang ditemui mati dengan kesan tembakan di Ladang Cenderamata, dekat sini, Khamis lalu, dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata, berdasarkan bedah siasat terhadap haiwan liar terbabit, pihaknya mendapati peluru yang digunakan adalah jenis penabur.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati haiwan itu mati dalam tempoh 48 jam sebelum bangkainya ditemui.

“Kami tidak pasti sama ada senapang patah yang digunakan dalam kejadian itu berlesen atau tidak tetapi peluru adalah jenis penabur,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan untuk mencari saksi yang mempunyai maklumat berkaitan suspek.

Semalam, media melaporkan bangkai seekor gajah jantan ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamata yang terletak antara Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini.

Gajah dengan ketinggian 2.7 meter itu dipercayai ditembak pemburu haram sebelum bangkainya ditemui pekerja ladang terbabit.

Difahamkan, senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang memiliki keupayaan hampir sama dengan senapang patah sebenar biasanya digunakan pemburu haram untuk berburu di kawasan hutan di negeri ini.

Senjata itu yang digunakan secara turun-temurun untuk memburu binatang serta menjaga tanaman turut menggunakan peluru sama iaitu jenis penabur.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din meminta orang awam supaya tidak menyimpan bakakuk kerana penyimpanan dan pemilikan senjata tidak berlesen itu salah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Kes pembunuhan gajah terbabit adalah yang terbaru di negeri ini selepas dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan, September lalu.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:30am
d