mutakhir

Padah guna parabola

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang peniaga didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah menggunakan set parabola tidak diperakui di sebuah rumah di Telok Kemang, Port Dickson, dua tahun lalu.

Tertuduh, Chook Soon Hup, 38, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puzi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Dia didakwa menggunakan satu unit dekoder, piring parabola dan tiga unit penukar turun blok berhingar rendah (LNB) berjenama Smartsat model ST-900B.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor PT 846, Taman Sentosa, Port Dickson, dekat sini jam 12.30 tengah hari pada 3 September 2015.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mendengar pengakuan itu, Ahmad Fairuz memerintahkan tertuduh membayar denda RM10,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohd Adzhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 4:20am
d