mutakhir

Samyang pun rembat

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Penuntut universiti awam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai jenis barangan termasuk mi segera Samyang dari Korea milik pasar raya Aeon Bandaraya, bulan lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Edayu Shamsudin, 23, selepas tertuduh mengangguk faham pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat curang mengambil enam paket Milo, dua unit Nestum, empat unit Samyang, enam unit Nescafe, empat karton susu F&N, dua unit minyak masak Seri Murni dan dua unit minyak masak cap Buruh berjumlah RM640.72 tanpa membuat pembayaran.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 10.50 pagi di pasar raya Aeon Bandaraya Melaka pada 29 Oktober 2017.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan hukuman setimpal ke atas tertuduh atas faktor kekerapan kejadian curi di pasar raya berkenaan di negeri ini.

Tertuduh diwakili Peguam Bela Nik Norhaizun Che Mat bagaimanapun merayu hukuman rendah diberikan dengan alasan tertuduh baru tamat pengajian dalam bidang pelancongan dan perhotelan dan dijangka menghadiri graduasi April tahun depan, selain sudah insaf dengan tindakannya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 4:25am
d