mutakhir

Macam-macam alasan

Oleh Mohd Hilmie Hussin dan Muhd Luqman Hakim Khalid

Melaka: Sebuah kereta BMW 530i menggunakan nombor pendaftaran palsu antara empat kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam Operasi Bersepadu di Taman Bukit Piatu Mutiara, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, kelmarin.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, kenderaan terbabit ditahan ketika melalui sekatan jalan raya untuk pemeriksaan selepas pemandunya yang berusia 30-an berkelakuan mencurigakan.

“Semakan mendapati pemandu terbabit pemilik BMW 530i itu. Ketika ditanya dia mendakwa sudah membuat pertukaran nombor pendaftaran kereta mewah berkenaan sebelum ini.

“Hasil semakan, tidak ada sebarang permohonan menukar nombor pendaftaran MBW 530i itu seperti didakwa pemandunya.

“Berikutan itu kereta terbabit kami sita untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi bersepadu berkenaan.

Muhammad Firdaus berkata, pihaknya turut menyita tiga motosikal, dua daripadanya kerana tidak memiliki insurans dan cukai jalan tamat tempoh manakala sebuah lagi ditunggang warga negara Indonesia yang tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihak berkuasa mengeluarkan 68 saman atas pelbagai kesalahan iaitu masing-masing 18 cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki perlindungan insurans, tidak memiliki lesen memandu (13) dan cermin gelap (8).

Operasi itu turut membabitkan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyaksikan 720 kenderaan diperiksa dan 54 daripadanya diambil tindakan.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 4:00am
d