mutakhir

RM46,500 'terbang'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Seorang penuntut warga Nigeria ‘terbang’ wang tunai sebanyak RM46,500 selepas mudah diperdaya sindiket menawarkan permit kerja serta memperbaharui visa di negara ini.

Sindiket didalangi dua lelaki Pakistan dan seorang lelaki tempatan yang mendakwa sebagai ‘orang tengah’ dilantik oleh agensi kerajaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa mendakwa diperkenalkan rakannya kepada dua suspek warga Pakistan yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lembah Klang.

“Mangsa yang juga penuntut IPTS berusia 25 tahun meminta bantuan suspek bagi memperbaharui visa yang bakal tamat tempoh selain mendapatkan permit kerja di negara ini.

“Suspek berusia 20-an mendakwa boleh menyelesaikan masalah itu dengan bayaran tunai sebanyak RM46,500. Mangsa kemudian menyerahkan wang diminta pada Julai lalu.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek turut mengemukakan dokumen palsu yang didakwa sebagai surat kelulusan bekerja di Malaysia menggunakan kepala surat Jabatan Imigresen Malaysia berserta setem dan cop,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, semalam.

Mohd Zani berkata, mangsa menyedari ditipu apabila gagal memperoleh dokumen dijanjikan selepas tempoh tiga bulan.

“Malah suspek meminta bayaran tambahan RM10,000 bagi mendapatkan dokumen berkenaan.

“Mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

“Berdasarkan maklumat diterima, kami menahan kedua-dua suspek itu di sekitar daerah ini Rabu lalu. Semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga, polis merampas komputer dan pemacu simpanan mudah alih yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan itu sejak setahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan itu.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 4:26am
d