mutakhir

Bekalan air terjejas angkara ammonia

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KANDUNGAN ammonia tinggi di Empangan Sembrong Barat, Kluang menyebabkan gangguan bekalan air bagi kira-kira 45,000 akaun pengguna syarikat bekalan air SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) di daerah Kluang.

Kenyataan berkenaan dikongsikan syarikat pembekalan air bersepadu berkenaan yang juga terbabit dalam proses rawatan air dan pengagihan air dirawat menerusi laman rasmi SAJ Ranhill Sdn Bhd, 9 malam tadi.

Maklumat ringkas berkenaan dikongsikan kepada pengunjung laman web syarikat berkenaan mengenai gangguan bekalan air yang mendapatkan bekalan dari Empangan Sembrong Barat, Kluang.

"Kandungan Ammonia Tinggi di Empangan Sembrong Barat dan Loji Rawatan Air Sembrong Barat Henti Operasi.

"45,000 akaun pengguna di daerah Kluang akan mengalami gangguan bekalan air bersih," katanya dalam notis peringatan sejak semalam.

Difahamkan tindakan siasatan punca pencemaran sedang dilakukan oleh pihak SAJ Ranhill.

Antara kawasan dijangka terjejas membabitkan sepanjang Jalan Batu Pahat hingga Tenusu, Taman Putera, Taman Tasek, Pejabat Kerajaan, Rest House, Jalan Pasar Lama, Taman Persona, Taman Bersatu dan Desa Harmoni.

Turut terjejas, Taman Kluang Jaya, Taman Intan, Taman Idaman, Kem Mahkota, Kem Dorset, Taman Kerjasama Taman Emas, Taman Nilam, Taman Bintang, Taman Berlian, Taman Permata, Taman Seri Kluang, Kampung Bentong Dalam, Luar. Taman Desa, Taman Saujana, Taman Kluang Barat, Kampus Intan, Wisma Persekutuan, Ind Mengkibol, Pusat Ternakan Ayam, Kampung MIC, Taman Sri Andal, Felcra Batu 67, Kampung Seri Semangat, Kampung Banjir Bersatu, Pekan Sri Lalang, Taman Bunga Raya, Puspakom, Taman Ria, Kampung Rahmat, Kampung Kurnia, Kluang Mall, QRTS KTM, Ladang Coronations dan banyak lagi kawasan.

Mereka yang terbabit boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian mesra SAJ Info Centre di 1800 88 7474 atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7727474 atau ke laman web http://sajranhill.com.my.

Hujung bulan lalu kilang memproses baja najis haiwan menjadi punca pencemaran ammonia hingga menjejaskan tiga Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini dan mengakibatkan lebih dua juta penduduk di negeri ini turut terjejas.

LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan Tai Hong terpaksa dihentikan operasi berikutan pencemaran ammonia berpunca dari ladang ayam dan kilang memproses baja najis ayam di Layang-Layang, Kluang.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 11:43am
d