mutakhir

Mengenang jasa Raja Muda Nala

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan jambatan ketiga Klang, hari ini.

Jambatan sepanjang 2.5 kilometer itu dinamakan Jambatan Raja Muda Nala sebagai mengenang jasa pahlawan Selangor satu ketika dulu iaitu Raja Muda Nala.

Turut berangkat pada majlis itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz.

Jambatan berkenaan dibina pada 17 Julai 2014 dan siap 15 Jun lalu.

Ia bermula 100 meter dari persimpangan Sungai Udang/Telok Pulai dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Huck Huat.

Panjang jambatan yang merentasi Sungai Klang adalah 1.2 kilometer.

Laluan yang terbabit adalah Jalan Sungai Bertek, Jalan Tanjung Shawal dan Jalan Goh Huck Huat.

Jambatan ketiga itu adalah laluan alternatif dalam mengurangkan 20 peratus kenderaan terutama pada waktu puncak di Jambatan Kota dan Jambatan Tengku Kelana.

Jambatan empat lorong tanpa tol itu membabitkan kos pembinaan RM199 juta.

Kontraktor yang dilantik melaksanakan projek itu adalah Cergas Murni Sdn Bhd.

Mohamed Azmin berkata, pembinaan jambatan itu bertujuan mengurangkan kesesakan dan menyuraikan trafik di bandar Klang sekali gus menambahbaik sistem aliran trafik sedia ada.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 11:59am
d