mutakhir

Siap sedia ke sekolah [METROTV]

Oleh Idris Musa

BAGI meringankan beban murid dan ibu bapa yang kurang berkemampuan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyampaikan pakaian seragam serta kelengkapan persekolahan kepada kira-kira 8,400 murid di lokasi terpilih di seluruh negara bagi musim persekolahan 2018.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah satu daripada program tahunan syarikat induk PLUS iaitu UEM Group Berhad (UEM Group) yang dikenali sebagai 'Program Kembali ke Sekolah UEM'.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada program berteraskan komuniti oleh pihaknya untuk memberikan bantuan dan menyalurkan sumbangan kepada masyarakat.

"Program bagi tahun keempat yang dianjurkan ini turut bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam mempersiapkan anak mereka bagi musim persekolahan 2018," katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada satu majlis penyerahan bantuan itu di Taman Maluri, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group, Datuk Izzaddin Idris.

Pada majlis itu, 1,000 pelajar menerima beg sekolah serta baucar bagi dua pakaian seragam sekolah, kasut, stokin dan set alat tulis yang boleh ditebus di Dataran Merdeka selama sebulan bermula esok. Mereka juga diberikan wang tunai RM50 sebagai tambang ke sana.

Hari ini juga program yang sama turut diadakan di Parlimen Kota Tinggi, Johor, membabitkan 200 pelajar.

Sejak 2012 hingga 2016, PLUS telah membelanjakan kira-kira RM12 juta bagi menjalankan pelbagai program berteraskan komuniti dan pihak berkepentingan sebagai tambahan kepada program kembali ke sekolah termasuk aktiviti kebajikan dan kempen keselamatan jalan raya.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 2:18pm
d