mutakhir

Bida nombor plat T1M esok

Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

NOMBOR pendaftaran kenderaan khas T1M atau Transformasi 1Malaysia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Indrapura Karting Circuit, Pekan, hari ini.

Pelancaran nombor pendaftaran itu selaras dengan aspirasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Najib sebelum ini.

Najib juga turut menerima nombor pendaftaran T1M 11 sebagai tanda penghargaan kepada beliau sebagai bapa transformasi negara.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam menyaksikan pertandingan Salute Malaysia Drift Challenge 2017 yang membariskan 40 pelumba.

Beliau yang tiba pada 11.45 pagi sempat bergambar dengan barisan pelumba dan orang awam yang menanti kehadiran beliau sejak awal pagi.

Sementara itu, Pengerusi Pertububan Transformasi Anak Muda Malaysia, Helmi Yusof berkata, penjualan nombor pendaftaran itu diuruskan pihaknya dan mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, hasil jualan itu akan disalurkan pada pertubuhan berkenaan bagi melaksanakan usaha transformasi anak muda dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

"Bidaan untuk nombor pendaftaran ini akan dibuka secara rasmi esok (20 November) sehingga 20 Disember depan bermula T1M 1 hingga T1M 1000.

"Orang ramai yang mahu mendapatkan borang atau maklumat lanjut boleh melayari laman web www.platt1m.com," katanya.

Menurutnya, pembida yang berjaya boleh membuat pendaftaran sehingga 31 Julai 2018 dan segala urusan perlu dilakukan di pejabat JPJ Wangsa Maju.

Berita berkaitan:

Sasar jualan RM5j nombor plat T1M

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 2:41pm
d