mutakhir

Ajal langgar lembu

Oleh Mohd Sabran Md Sani

REMAJA maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan lembu di Kilometer 40, Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd Shuib Hamsudin, 18, yang bekerja sebagai buruh projek pembinaan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa mangsa, Hamsudin Ali, 60, berkata, dia bersama arwah anaknya itu keluar serentak dari rumah mereka di FELDA Loke Heng dengan menunggang motosikal masing-masing ke laluan berbeza pada 6.30 pagi.

"Kebetulan kami keluar serentak dan saya dalam perjalanan menziarahi arwah kakak di FELDA Bukit Permai, Layang-layang selepas meninggal dunia malam tadi.

"Arwah pula menunggang motosikal berseorangan diri untuk ke tempat kerjanya pada pagi itu," katanya ketika dihubungi di kediamannya di FELDA Loke Heng, hari ini.

Katanya, dia dihubungi seorang anak lelakinya memaklumkan mengenai kemalangan itu.

"Dia (anak) memaklumkan adiknya (arwah) kemalangan saja dan saya meminta anak kesembilan itu mendapatkan adiknya.

"Sepuluh minit kemudian, saya dihubungi sekali lagi sebelum disahkan anak bongsu sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, dia difahamkan kejadian berlaku di kawasan menuruni bukit di kawasan kejadian.

"Kebetulan anak mengekori kereta dan ketika itu kereta di hadapannya sempat ke kanan jalan mengelak lembu.

"Bagaimanapun anak saya tidak sempat mengelak dan terlanggar lembu," katanya.

Katanya, arwah anaknya dilaporkan tercampak kira-kira 20 meter sebelum tergolek beberapa kali dan memasuki ke kawasan longkang.

"Kejadian itu mengakibatkan arwah anak patah kaki kanan dan retap pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat anaknya kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat sebelum disemadikan di tanah Perkuburan Islam Gususan Felda Lok Heng selepas Zuhur.

Sementara itu katanya, kemalangan membabitkan kenderaan dan haiwan di lokasi itu bukan pertama kali berlaku.

"Saya difahamkan sudah tiga hingga empat kali kemalangan seperti itu berlaku dan ia berikutan lembu tanpa tuan berkeliaran tanpa pengawasan.

"Saya reda mungkin lembu itu sekadar sebab saja dan Allah mengambil (nyawa anak) dengan cara macam itu," katanya.

Katanya, dia menyambut baik usaha menternak lembu kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW, namun kena ikut aturan sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut terbabit.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 2:56pm
d