mutakhir

Dapat bantuan buka akaun SSPN-i

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SERAMAI 3,163 murid tahun satu dari 55 sekolah sekitar Parlimen Pekan menerima bantuan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM316,300.

Sumbangan berkenaan diberikan sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam setiap perkara yang dilakukan kerajaan mahupun parti, keperluan serta kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dan BIKUM menjadi perantara.

Kata beliau, parti itu sudah banyak berjasa untuk negara dan wujud sejak 70 tahun lalu.

"Sebagai sebuah parti terkuat yang sudah lama wujud, UMNO sememangnya kukuh untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan seperti pembangkang yang 'kuca lana' (berantakan).

"Dalam susah mahupun senang, kita akan sentiasa di sisi rakyat," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, hari ini.

Hadir sama Pengerusi BIKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pada majlis yang sama, Najib turut menyerahkan sumbangan 2,000 kit barangan serta bantuan beg sekolah dan cermin mata kepada golongan memerlukan di sekitar parlimen Pekan.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya turun padang ke 60 kawasan di seluruh negara bagi membantu rakyat dan sehingga kini, sudah 31 lokasi sudah dilawati.

"Sebagai kerajaan prihatin, kita membantu rakyat tanpa mengira perbezaan agama, kaum mahu pun fahaman politik.

"Apa yang utama, rakyat yang kurang bernasib baik akan mendapat bantuan yang diperlukan," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 3:59pm
d